Kesemua itu adalah bertujuan supaya orang Islam semakin matang dalam menempuh perjuangan hidup. ALLAH SWT tidak membiarkan mereka meraba-raba dengan ujian yang didatangkan kepada mereka, akan tetapi Dia mengajar mereka untuk berlindung dan bermohon kepada-Nya melalui program ibadat solat dan sabar dalam menghadapi ujian.
Firman ALLAH SWT menerusi ayat 45 Surah al-Baqarah :''Jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amat berat melainkan kepada orang-orang yang khusyuk.''
Dalam ayat 153 pula ALLAH SWT menjelaskan maksudnya :''Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu, sesungguhnya ALLAH SWT bersama dengan orang-orang yang sabar.''
Kedua-dua ayat diatas, memberi penjelasan bahawa ALLAH SWT telah meletakkan syarat terpenting dalam menghadapi ujian-Nya ialah dengan banyak bersabar dan melakukan solat, sama ada yang wajib atau sunat, kerana dengannya kita boleh bermohon kepada-Nya untuk menyelamatkan kita daripada sebarang bentuk marabahaya yang boleh menimpa kita pada bila-bila masa.
Sifat sabar itu lahir apabila manusia ditimpa ujian getir daripada ALLAH SWT, ia bertujuan untuk memperkasa diri Muslim untuk terus berhubungan dengan ALLAH sebagai tanda penyerahan diri mereka hanya kepada ALLAH dan sabarboleh dikategorikan sebagai berikut;
Sabar dalam melaksanakan segenap perintah ALLAH dengan penuh rasa khusyuk dan pasrah kepada-Nya.
- Sabar dalam meninggalkan segala larangan dan tegahan-Nya dengan penuh rasa tanggungjawab.
- Sabar dalam menempuh segala ujian, kerana ia mengandungi kebaikan untuk semua.
- Sabar ketika berhadapan dengan maksiat.
- Sabar terhadap ketentuan dan musibah.
