Wednesday, 30 November 2011

Imam Bukhari : Jasa tidak ternilai

Artikel ini dipetik dari sebuah buku lama yang tidak diketahui judulnya..

IMAM BUKHARI
              
Peribadinya
                  
Imam Bukhari ialah salah seorang ulama Hadis yang terkenal di seluruh dunia Islam. Beliau menghabiskan umurnya untuk mempelajari Hadis, mengumpul dan kemudian mengarang banyak kitab mengenai Hadis. Seluruh umurnya dicurahkan untuk menghayati Hadis.

Nama asalnya ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbeh Al Ja’fiy.
 Beliau mendapat gelaran ‘Al Bukhari’ kerana bumi tumpah darahnya ialah Bukhara, salah sebuah wilayah dalam Uzbekistan di Asia Tengah. Sebelum ini Uzbekistan dikenali sebagai Samarkhan.

Tentera Islam sampai ke Samarkhan dan menguasai Bukhara tahun 89 Hijriyah, di bawah panglima Qutaibah bin Muslim, dalam zaman pemerintahan Al Walid bin Abdul Malik dari dinasti (daulah) Bani Umaiyah.

Sejak itu penduduknya beragama Islam dan kemudian menjadi pusat kegiatan agama Islam di seluruh Asia Tengah hingga melahirkan beberapa orang ulama besar, termasuk Imam Bukhari, Ibnu Sina dan lain-lain.
Imam Bukhari dilahirkan dalam bulan Syawal tahun 194 Hijriyah dan meninggal dunia ketika berumur 62 tahun.

Kedua ibu bapanya terkenal kerana salih dan takwa serta alim dalam ilmu agama. Ayahnya, Ismail adalah seorang ahli Hadis yang warak dan takwa. Tetapi ayahnya meninggal dunia ketika beliau masih kecil, dan beliau membesar dengan asuhan ibunya.

Ibu Imam Bukhari juga seorang wanita solehah. Menurut satu riwayat, semasa kecilnya, Imam Bukhari telah menghidap penyakit mata hingga beliau hampir menjadi buta.

Pada suatu malam ibunya bermimpi bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s. yang memberitahu beliau bahawa mata puteranya itu hanya akan sembuh dengan doa yang banyak dari ibunya sendiri.

Sesudah beliau berdoa dengan sungguh-sungguh meminta pertolongan dari Allah, akhirnya mata anaknya itu sembuh dan dapatlah dia melihat seperti sediakala.







Powered By Blogger