Tuesday, 6 January 2015

Tenggelamnya Kapal van der Wijck





Kupasan filem Tenggelamnya Kapal van der Wijck (2013) ini adalah tulisan asli pertama saya. Semoga skil menulis saya semakin meningkat. Selamat membaca!!!

Novel karya ilmuan Nusantara, Buya Hamka ini telah diadaptasikan ke pentas lakon layar di negeri seberang, Indonesia. Walaupun kritikan yang diberikan kepada pembikin filem ini yang dilihat telah menyimpang dari budaya ketimuran, tetapi mesej yang ingin disampaikan sangat jelas.

Sisi menarik yang boleh kita lihat dari filem ini ialah kritik sosial Buya Hamka terhadap adat masyarakat Minang pada masa tersebut iaitu sekitar zaman 30-an yang sangat mempertahankan adat sehingga terkeluar dari bibir mereka pepatah 'biar mati anak, dari mati adat'. Pengamalan adat pada masa tersebut boleh dikatakan sangat ketara.

Watak utama yang ditonjolkan dalam filem tersebut ialah Zainuddin dan Hayati. Zainuddin yang berasal dari Makassar seorang yatim piatu yang disisihkan keluarga dan masyarakatnya sendiri. Manakala Hayati pula seorang gadis Minang yang tinggal di dalam persekitaran adat Minangkabau yang boleh dikatakan ekstrem (baca:kuat).

Cinta Zainuddin dan Hayati mula berputik disaat mereka bertemu semasa Zainuddin melawat tanah kelahiran ayahnya, Pendekar Sutan di Padang untuk menyambung tali silaturahim. Kebaikan Zainuddin telah memikat hati Hayati tetapi halangan keluarga Hayati yang sangat membenci Zainuddin telah menghalang cinta suci mereka berdua.

Zainuddin telah dihalau keluar dari Padang akibat kebencian penduduk di situ yang menganggapnya tiada asal usul yang jelas. Sebelum Zainuddin pergi meninggalkan Padang, Hayati telah berjanji kepadanya untuk menjaga cinta mereka berdua.

Atas nasihat ibu Jamilah, Zainuddin telah membawa diri ke Padang Panjang untuk belajar agama. Dalam tempoh inilah Zainuddin dan Hayati saling berutus surat sebagai pengubat rindu di kejauhan.

Babak sedih bermula apabila lamaran Zainuddin kepada keluarga Hayati telah ditolak oleh mereka, sebaliknya mereka menerima lamaran pemuda kota, Aziz yang juga melamar Hayati atas saranan ibunya. Hayati terpaksa menerima keputusan tersebut dengan linangan air mata walaupun cintanya yang mendalam kepada Zainuddin.

Akibat lamarannya ditolak, Zainuddin telah jatuh sakit selama dua bulan kerana terlalu kecewa. Hayati datang menjenguk Zainuddin bersama suaminya, Aziz dan ini lebih menambahkan lagi kekecewaan dan lara hatinya apabila mendapat tahu Hayati telah berkahwin. Hayati telah melanggar janjinya kepada Zainuddin sebelum ini.

Atas nasihat dan bimbingan Muluk, Zainuddin telah bangkit dari kekecewaannya dengan melupakan cinta lamanya dan mulai berkarya dengan menghantar karya-karyanya kepada akhbar untuk disiarkan. Melalui karyanya, Zainuddin telah menulis kisah hidupnya yang sentiasa dirundung malang dengan menggunakan nama pena Z.

Karya Zainuddin telah diminati ramai sehingga banyak diterbitkan sama ada dalam bentuk novel ataupun di dada-dada akhbar pada masa itu.

Hayati yang telah berkahwin dengan Aziz, tidak merasa bahagia didalam rumah tangga mereka kerana Aziz seorang yang suka berjudi dan berfoya-foya. Atas saranan kawannya, Hayati telah membaca novel karya Zainuddin yang sangat fenomenal pada masa tersebut. Hayati dapat merasakan kisah yang dikarang dalam novel tersebut terlalu dekat dengannya walaupun dia belum mengetahui bahawa penulisnya ialah Zainuddin.

Akibat dari bebanan hutang yang banyak, Hayati dan Aziz telah hilang segala-galanya akibat dari sikap buruk suaminya yang suka berjudi. Apabila Zainuddin mendapat tahu mereka sedang ditimpa kesusahan, dia membantu mereka dengan memberikan pertolongan yang sewajarnya.

Aziz mula merasa menyesal akan perlakuannya kepada Hayati dan malu kepada Zainuddin. Dia telah mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan baru setelah merasa dirinya banyak terhutang budi kepada Zainuddin. Dia telah meninggalkan Hayati tinggal bersama Zainuddin dan berjanji akan membawa bersamanya Hayati jika telah mendapat pekerjaan yang baru.

Tetapi sebaliknya yang berlaku apabila Aziz telah menceraikan Hayati melalui suratnya dan mengambil keputusan yang tragis dengan jalan membunuh diri. Hayati sangat sedih apabila mendapat khabar tentang kematian Aziz. Aziz menitipkan Hayati kepada Zainuddin setelah diceraikannya dan selepas habis iddah.

Zainuddin tidak mahu menerima Hayati lagi kerana kekecewaan dan kesedihannya tidak dapat dihapuskan dengan mudah setelah jiwa dan batinnya dirobek sekian lama. Zainuddin menyuruh Hayati pulang ke kampung asalnya walaupun telah dipujuk berkali-kali untuk menerima cintanya kembali.

Hayati pulang kembali ke kampungnya dengan perasaan yang hiba dan pilu dengan menaiki kapal van der Wijck. Sebelum naik ke atas kapal tersebut, Hayati telah memberitahu Muluk tentang keresahan dan perasaan tidak sedap hatinya.  Apabila tiba di tengah lautan, kapal tersebut telah karam kerana masalah yang berlaku terhadap kapal Belanda tersebut. Hayati yang berada dalam kapal itu turut lemas dalam lautan dan berita tersebut telah diketahui Zainuddin keesokan harinya.

Zainuddin yang merasa menyesal kerana telah menyuruh Hayati pulang telah mengambil keputusan untuk pergi kepadanya semula dan memberitahu perasaanya kepada Hayati. Tetapi setelah dikhabarkan tentang kapal yang dinaiki Hayati telah tenggelam, ia begitu mengejutkan Zainuddin.

Setelah mengalami kecederaan yang teruk akibat insiden tersebut, Hayati telah menghembuskan nafasnya yang terakhir disisi Zainuddin dan sempat meluahkan perasaan cintanya yang tidak pernah pudar walaupun di hujung hela nafasnya. Zainuddin begitu sedih dengan pemergian Hayati dan telah mendedikasikan karyanya kepada Hayati tentang kisah mereka didalam karyanya 'Tenggelamnya Kapal van der Wijck'.

Begitulah kisah menyayat hati yang telah disuguhkan Buya Hamka di dalam novelnya berkisar tentang kisah percintaan dua insan yang tidak berakhir dengan penyatuan tetapi dengan penyatuan hati.


Nilai
2.33 AM
5 Januari 2015

Friday, 9 December 2011

Mohon ampun, tutup aib dosa daripada terdedah

Oleh : Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj. Nik Abd Aziz Nik Mat
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?" (Surah Ali Imran ayat 135)
Istighfar bererti minta ampun kepada Allah SWT. Istighfar juga bererti minta ditudung (ditutup) segala kesilapan atau kesalahan
Minta dilindung supaya ketika dibangunkan dari kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban tidak terdedah kepada umum.
Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang 'ashi, apabila melakukan perkara keji atau menganiaya dan dedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu ingat dan mohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT minta ditudung dosanya.
Sesal kepada Tuhan kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT.
Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram.
Semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat dan berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.
Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengangampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa ayat 110)
Pada ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang telah melakukan kejahatan atau menzalimi diri, kemudian ingat kepada Allah SWT dan beristighfar akan mendapati bahawa Allah SWT itu satu Zat yang sangat suka mengampunkan dosa, serta amat Kasihan Belas kepada manusia.
Mukmin yang 'ashi (derhaka) hendaklah berkeyakinan bahawa dosanya akan diampun dan dilindung daripada pandangan orang ramai, dengan syarat mereka menyesali dan taubat bermula daripada hati yang telah insaf.
Sepenuh hati berazam tidak melakukan dosa lagi, lantas lisannya menyebut 'Astaghfirullah' atau 'Lailaha illa anta inni kuntu minaz zolimin' atau Allahummaghfirli wa liwalidaiyya.
Atau katalah apa saja yang menunjukkan mereka tidak akan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan.
Insya-Allah, Tuhan akan terima taubat dan ditudungnya dosa mereka. Diberi keupayaan menentangnya ketika hati teringin melakukannya.
"Timbul rasa malu dan gerun, akhirnya akan jadi manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun." (Surah An-Nashr ayat 3)
Segala kerja bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih dan beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan yang memohon ampun pada waktu sahur (sebelum fajar)." (Surah Ali Imran ayat 17)
Sifat orang mukmin ialah mereka berusaha bangun sebelum fajar untuk beristighfar kepada Allah SWT. Boleh beristighfar pada siang hari, tetapi kemungkinan beristighfar sekadar meniru orang lain.
Adapun bangun sebelum fajar adalah lambang keikhlasan kepada Allah SWT ini kerana kebanyakkan manusia masih lena tidur.
Sesetengah sifat orang mukmin ialah hanya sedikit tidurnya pada waktu malam. Orang yang berkeadaan begini pada siang harinya tak mungkin melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT.
Sebaliknya jika seseorang beristighfar dan berzikir pada waktu malam kerana tarik perhatian jiran sebelah, supaya jirannya tahu dia bangun beramal waktu malam, nescaya tiada kesan yang positif pada siang harinya, kerana dia beramal sekadar tarik perhatian manusia.
Rasulullah s.a.w. amat gemar beristighfar dengan: "Subhanaka Allahumma wa bihamdika Allahumma Ighfirli. Innaka Antat-Tauwwabur Rahim" Yang bermaksud: "Maha suci Engkau (daripada sifat kekurangan), ya Allah Tuhanku, dan aku memuji Engkau wahai Tuhanku ampunilah (segala dosa)ku. Sesungguhnya Engkau Amat penerima taubat lagi Maha Penyayang."
Lafaz istighfar hanya dihujung kalimah berbunyi "Ighfirli", tetapi dimulai dengan kata kata sanjungan dan bunga pujian.
Iaitu tasbih mensucikan Allah SWT dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Bertahmid memuji-Nya dengan segala Kemuliaan yang tidak terhingga.
Sebelum meminta sesuatu dari Tuhan lebih dahulu memuji-Nya dengan kata sanjungan. Inilah kaedah yang amat disukai oleh Allah SWT kerana meletakkan-Nya di tempat paling suci dan mulia, sesuai dengan sifat Keagungan Zat-Nya.
Justeru jika seseorang itu rajin bertasbih menyebut 'Subhanallah' dengan penuh kesedaran, misalnya menyebut 'Subhanallah' yang bermaksud Maha Suci Allah dari kejahilan, bererti Dia-lah Tuhan yang Maha Berilmu.
Sebut berulangkali 'Subhanallah' Maha Suci Allah dari sifat kelemahan yang lain, bererti Dia-lah Tuhan penuh dengan segala sifat Kesempurnaan. Sanjunglah Allah SWT dengan ta sbih dan tahmid.

Wednesday, 30 November 2011

Imam Bukhari : Jasa tidak ternilai

Artikel ini dipetik dari sebuah buku lama yang tidak diketahui judulnya..

IMAM BUKHARI
              
Peribadinya
                  
Imam Bukhari ialah salah seorang ulama Hadis yang terkenal di seluruh dunia Islam. Beliau menghabiskan umurnya untuk mempelajari Hadis, mengumpul dan kemudian mengarang banyak kitab mengenai Hadis. Seluruh umurnya dicurahkan untuk menghayati Hadis.

Nama asalnya ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbeh Al Ja’fiy.
 Beliau mendapat gelaran ‘Al Bukhari’ kerana bumi tumpah darahnya ialah Bukhara, salah sebuah wilayah dalam Uzbekistan di Asia Tengah. Sebelum ini Uzbekistan dikenali sebagai Samarkhan.

Tentera Islam sampai ke Samarkhan dan menguasai Bukhara tahun 89 Hijriyah, di bawah panglima Qutaibah bin Muslim, dalam zaman pemerintahan Al Walid bin Abdul Malik dari dinasti (daulah) Bani Umaiyah.

Sejak itu penduduknya beragama Islam dan kemudian menjadi pusat kegiatan agama Islam di seluruh Asia Tengah hingga melahirkan beberapa orang ulama besar, termasuk Imam Bukhari, Ibnu Sina dan lain-lain.
Imam Bukhari dilahirkan dalam bulan Syawal tahun 194 Hijriyah dan meninggal dunia ketika berumur 62 tahun.

Kedua ibu bapanya terkenal kerana salih dan takwa serta alim dalam ilmu agama. Ayahnya, Ismail adalah seorang ahli Hadis yang warak dan takwa. Tetapi ayahnya meninggal dunia ketika beliau masih kecil, dan beliau membesar dengan asuhan ibunya.

Ibu Imam Bukhari juga seorang wanita solehah. Menurut satu riwayat, semasa kecilnya, Imam Bukhari telah menghidap penyakit mata hingga beliau hampir menjadi buta.

Pada suatu malam ibunya bermimpi bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s. yang memberitahu beliau bahawa mata puteranya itu hanya akan sembuh dengan doa yang banyak dari ibunya sendiri.

Sesudah beliau berdoa dengan sungguh-sungguh meminta pertolongan dari Allah, akhirnya mata anaknya itu sembuh dan dapatlah dia melihat seperti sediakala.







Saturday, 3 September 2011

Manusia tidak lekang daripada ujian

Dalam al-Quran, ada dijelaskan beberapa bentuk ujian yang mesti dilalui oleh setiap individu muslim, sama ada ia berbentuk ujian kebuluran, ketakutan, ujian dengan sedikit sumber pemakanan, harta benda, ujian ini tidak lain tidak bukan adalah untuk  ALLAH SWT ketahui antara kita yang paling bertakwa kepada-Nya.

Kesemua itu adalah bertujuan supaya orang Islam semakin matang dalam menempuh  perjuangan hidup. ALLAH SWT tidak membiarkan mereka meraba-raba dengan ujian yang didatangkan kepada mereka, akan tetapi Dia mengajar mereka untuk berlindung dan bermohon kepada-Nya melalui program ibadat solat dan sabar dalam menghadapi ujian.

Firman ALLAH SWT menerusi ayat 45 Surah al-Baqarah :''Jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amat berat melainkan kepada orang-orang yang khusyuk.''

Dalam ayat 153 pula ALLAH SWT menjelaskan maksudnya :''Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu, sesungguhnya ALLAH SWT bersama dengan orang-orang yang sabar.''

Kedua-dua ayat diatas, memberi penjelasan bahawa ALLAH SWT telah meletakkan syarat terpenting dalam menghadapi ujian-Nya ialah dengan banyak bersabar dan melakukan solat, sama ada yang wajib atau sunat, kerana dengannya kita boleh bermohon kepada-Nya untuk menyelamatkan kita daripada sebarang bentuk marabahaya yang boleh menimpa kita pada bila-bila masa.

Sifat sabar itu lahir apabila manusia ditimpa ujian getir daripada ALLAH SWT, ia bertujuan untuk memperkasa diri Muslim untuk terus berhubungan dengan ALLAH sebagai tanda penyerahan diri mereka hanya kepada ALLAH dan sabarboleh dikategorikan sebagai berikut;                                 

Sabar dalam melaksanakan segenap perintah ALLAH dengan penuh rasa khusyuk dan pasrah kepada-Nya.
  1. Sabar dalam meninggalkan segala larangan dan tegahan-Nya dengan penuh rasa tanggungjawab.
  2. Sabar dalam menempuh segala ujian, kerana ia mengandungi kebaikan untuk semua.
  3. Sabar ketika berhadapan dengan maksiat.
  4. Sabar terhadap ketentuan dan musibah.
Apabila dilihat kepada sirah para anbiya' tidak seorang pun daripada mereka yang tidak diuji oleh ALLAH, namun ujian yang ditimpakan ke atas mereka tidaklah sama antara seorang rasul dengan yang lain, justeru Baginda ada menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud; ''Para anbiya' adalah golongan yang paling dahsyat ditimpakan ujian oleh ALLAH, kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama').''
Powered By Blogger