Kupasan filem Tenggelamnya Kapal van der Wijck (2013) ini adalah tulisan asli pertama saya. Semoga skil menulis saya semakin meningkat. Selamat membaca!!!
Novel karya ilmuan Nusantara, Buya Hamka ini telah diadaptasikan ke pentas lakon layar di negeri seberang, Indonesia. Walaupun kritikan yang diberikan kepada pembikin filem ini yang dilihat telah menyimpang dari budaya ketimuran, tetapi mesej yang ingin disampaikan sangat jelas.
Sisi menarik yang boleh kita lihat dari filem ini ialah kritik sosial Buya Hamka terhadap adat masyarakat Minang pada masa tersebut iaitu sekitar zaman 30-an yang sangat mempertahankan adat sehingga terkeluar dari bibir mereka pepatah 'biar mati anak, dari mati adat'. Pengamalan adat pada masa tersebut boleh dikatakan sangat ketara.
Watak utama yang ditonjolkan dalam filem tersebut ialah Zainuddin dan Hayati. Zainuddin yang berasal dari Makassar seorang yatim piatu yang disisihkan keluarga dan masyarakatnya sendiri. Manakala Hayati pula seorang gadis Minang yang tinggal di dalam persekitaran adat Minangkabau yang boleh dikatakan ekstrem (baca:kuat).
Cinta Zainuddin dan Hayati mula berputik disaat mereka bertemu semasa Zainuddin melawat tanah kelahiran ayahnya, Pendekar Sutan di Padang untuk menyambung tali silaturahim. Kebaikan Zainuddin telah memikat hati Hayati tetapi halangan keluarga Hayati yang sangat membenci Zainuddin telah menghalang cinta suci mereka berdua.
Zainuddin telah dihalau keluar dari Padang akibat kebencian penduduk di situ yang menganggapnya tiada asal usul yang jelas. Sebelum Zainuddin pergi meninggalkan Padang, Hayati telah berjanji kepadanya untuk menjaga cinta mereka berdua.
Atas nasihat ibu Jamilah, Zainuddin telah membawa diri ke Padang Panjang untuk belajar agama. Dalam tempoh inilah Zainuddin dan Hayati saling berutus surat sebagai pengubat rindu di kejauhan.
Babak sedih bermula apabila lamaran Zainuddin kepada keluarga Hayati telah ditolak oleh mereka, sebaliknya mereka menerima lamaran pemuda kota, Aziz yang juga melamar Hayati atas saranan ibunya. Hayati terpaksa menerima keputusan tersebut dengan linangan air mata walaupun cintanya yang mendalam kepada Zainuddin.
Akibat lamarannya ditolak, Zainuddin telah jatuh sakit selama dua bulan kerana terlalu kecewa. Hayati datang menjenguk Zainuddin bersama suaminya, Aziz dan ini lebih menambahkan lagi kekecewaan dan lara hatinya apabila mendapat tahu Hayati telah berkahwin. Hayati telah melanggar janjinya kepada Zainuddin sebelum ini.
Atas nasihat dan bimbingan Muluk, Zainuddin telah bangkit dari kekecewaannya dengan melupakan cinta lamanya dan mulai berkarya dengan menghantar karya-karyanya kepada akhbar untuk disiarkan. Melalui karyanya, Zainuddin telah menulis kisah hidupnya yang sentiasa dirundung malang dengan menggunakan nama pena Z.
Karya Zainuddin telah diminati ramai sehingga banyak diterbitkan sama ada dalam bentuk novel ataupun di dada-dada akhbar pada masa itu.
Hayati yang telah berkahwin dengan Aziz, tidak merasa bahagia didalam rumah tangga mereka kerana Aziz seorang yang suka berjudi dan berfoya-foya. Atas saranan kawannya, Hayati telah membaca novel karya Zainuddin yang sangat fenomenal pada masa tersebut. Hayati dapat merasakan kisah yang dikarang dalam novel tersebut terlalu dekat dengannya walaupun dia belum mengetahui bahawa penulisnya ialah Zainuddin.
Akibat dari bebanan hutang yang banyak, Hayati dan Aziz telah hilang segala-galanya akibat dari sikap buruk suaminya yang suka berjudi. Apabila Zainuddin mendapat tahu mereka sedang ditimpa kesusahan, dia membantu mereka dengan memberikan pertolongan yang sewajarnya.
Aziz mula merasa menyesal akan perlakuannya kepada Hayati dan malu kepada Zainuddin. Dia telah mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan baru setelah merasa dirinya banyak terhutang budi kepada Zainuddin. Dia telah meninggalkan Hayati tinggal bersama Zainuddin dan berjanji akan membawa bersamanya Hayati jika telah mendapat pekerjaan yang baru.
Tetapi sebaliknya yang berlaku apabila Aziz telah menceraikan Hayati melalui suratnya dan mengambil keputusan yang tragis dengan jalan membunuh diri. Hayati sangat sedih apabila mendapat khabar tentang kematian Aziz. Aziz menitipkan Hayati kepada Zainuddin setelah diceraikannya dan selepas habis iddah.
Zainuddin tidak mahu menerima Hayati lagi kerana kekecewaan dan kesedihannya tidak dapat dihapuskan dengan mudah setelah jiwa dan batinnya dirobek sekian lama. Zainuddin menyuruh Hayati pulang ke kampung asalnya walaupun telah dipujuk berkali-kali untuk menerima cintanya kembali.
Hayati pulang kembali ke kampungnya dengan perasaan yang hiba dan pilu dengan menaiki kapal van der Wijck. Sebelum naik ke atas kapal tersebut, Hayati telah memberitahu Muluk tentang keresahan dan perasaan tidak sedap hatinya. Apabila tiba di tengah lautan, kapal tersebut telah karam kerana masalah yang berlaku terhadap kapal Belanda tersebut. Hayati yang berada dalam kapal itu turut lemas dalam lautan dan berita tersebut telah diketahui Zainuddin keesokan harinya.
Zainuddin yang merasa menyesal kerana telah menyuruh Hayati pulang telah mengambil keputusan untuk pergi kepadanya semula dan memberitahu perasaanya kepada Hayati. Tetapi setelah dikhabarkan tentang kapal yang dinaiki Hayati telah tenggelam, ia begitu mengejutkan Zainuddin.
Setelah mengalami kecederaan yang teruk akibat insiden tersebut, Hayati telah menghembuskan nafasnya yang terakhir disisi Zainuddin dan sempat meluahkan perasaan cintanya yang tidak pernah pudar walaupun di hujung hela nafasnya. Zainuddin begitu sedih dengan pemergian Hayati dan telah mendedikasikan karyanya kepada Hayati tentang kisah mereka didalam karyanya 'Tenggelamnya Kapal van der Wijck'.
Begitulah kisah menyayat hati yang telah disuguhkan Buya Hamka di dalam novelnya berkisar tentang kisah percintaan dua insan yang tidak berakhir dengan penyatuan tetapi dengan penyatuan hati.
Nilai
2.33 AM
5 Januari 2015
2.33 AM
5 Januari 2015


No comments:
Post a Comment